Categories: Hiburan

Elemen Seram Kutukan Sembilan Setan Tepati Selera Peminat Malaysia

Diedarkan syarikat D’ Ayu Pictures untuk pasaran di Malaysia, Kutukan Sembilan Setan ditayangkan di pawagam bermula 26 Oktober 2023.

Datuk Rosmar Ayu Mokhtar yang juga pemilik D’ Ayu Pictures berkata, pihaknya berminat mengedarkan filem Kutukan Sembilan Setan kerana ia mempunyai elemen seram yang menepati citarasa penonton di Malaysia.

Jelasnya, dia melihat potensi filem tersebut memandangkan terdapat beberapa lagi syarikat pengedaran berminat untuk membawa masuk ke Malaysia.

“Tidak dinafikan ada beberapa syarikat pengedar lain dari Malaysia yang berminat dengan filem ini, namun rezeki filem ini jatuh ke tangan saya.

“Apabila menjadi rebutan pengedar, ia bermaksud filem ini mempunyai potensi yang tinggi, malah tayangan di Indonesia juga mendapat sambutan sehingga 250,000 penonton,” ujarnya.

Menurutnya, Kutukan Sembilan Setan merupakan filem sulung yang diedaran syarikatnya untuk pasaran di Malaysia setelah tiga kali menerbitkan filem.

Jelasnya, ketiga-tiga filem yang dihasilkan itu adalah secara usaha sama dengan syarikat produksi di Indonesia.

“Setelah bergelar penerbit, kini saya melangkah ke bidang yang pula iaitu sebagai pengedar filem-filem dari luar untuk tayangan pawagam Malaysia.

“Pada masa sama, niat yang sama agar saya dapat turut membawa filem-filem tempatan ke negara-negara luar. Jadi, filem Kutukan Sembilan Setan ini merupakan langkah pertama ke arah itu,” ujarnya.

Kutukan Sembilan Setan mengisahkan tentang Verdy bersama rakan-rakannya iaitu Devon, Sarah, Lia dan Miko yang merancang percutian di sebuah kawasan di gunung Bromo serta menyewa sebuah Villa selama lima hari.

Bagaimanapun, setibanya mereka di situ ternyata keadaan Villa berkenaan tidak sama dengan gambar yang diiklankan di internet ketika mereka membuat tempahan.

Selain Villa tersebut yang kelihatan aneh dah menyeramkan, mereka sudah diganggu beberapa kejadian misteri sejak hari pertama menginap di Villa berkenaan.

Diarahkan oleh Arie Aziz, filem berkenaan dibintangi barisan pelakon seperti Ajil Ditto, Denira Wiraguna, Frislly Herlind, Fandy Christian, Joshua Suherman, Fadhan Holao, Eric van loo, Sabina Bayramova,Fahira Almira, Brooklyn R, Gerald Krechoff, Egi, Fedly, Eistevanya Alexandra, Aisha Ali, Irna Jufe dan Zenia Zein.

Padin