Categories: HiburanTrending

Lagu Hasrat ‘Point Of View’ Arwah Bapa, Air Mata Amir Jahari Tumpah Selepas Diumum Layak Ke AJL38

Penyanyi, Amir Jahari meluahkan rasa sedih apabila lagu ciptaan sepenuhnya, Hasrat berjaya bolos ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38).

Tidak menyangka lagu tersebut bakal bersaing di pentas berprestij itu, Amir bersyukur kepada Allah atas peluang bermakna itu.

“Perasaan saya sangat bersyukur sebab seperti apa yang pernah saya lalui untuk lagu Tanpamu sebelum ini, saya tidak meletakkan apa-apa harapan pada manusiawi. Saya letak harapan pada Allah sahaja,” katanya kepada XTRA.

Sementara itu, dia memberitahu lagu tersebut dedikasikan khas buat arwah bapanya yang menderita kanser beberapa tahun lepas.

“Saya sangat sedih sebab lagu ni saya buat bila ayah sedang berjuang dengan kanser dan pada tahun lepas dia telah meninggal dunia,” luahnya.

“Lagu ni masa saya buat tahun 2018, saya alami kemurungan yang teruk. Saya terfikir untuk stop daripada terlibat dengan muzik kerana masalah mental saya.

“Lebih-lebih lagi saya dapat tahu ayah kena kanser pula. Waktu itu, keadaan memang menekan,” katanya.

Tambahnya, ketika menulis karya tersebut, dia membayangkan jika ayahnya pergi menghadap Illahi serta meletakkan ‘point of view’ ayahnya dalam keadaan tersebut.

“Masa tu lah saya bayangkan keadaan ayah saya, kalaulah ayah saya meninggal, pov dia mcm mana.

“Apabila dia menghembuskan nafas terakhir memang sebiji apa yang saya bayangkan dahulu. Lagu tu memang sebenarnya benda yang paling saya tak nak bayangkan,” jelasnya.

Amir ditemui XTRA usai pengumuman 12 lagi yang layak ke Anugerah Juara Lagu Ke-38 di Glenmarie, Shah Alam hari ini.

Bertanya mengenai harapan untuk lagu Hasrat di pentas AJL38, dia hanya berserah kepada Allah dan hanya akan memberikan yang terbaik serta tidak menyasarkan sebarang kemenangan.

Syamir Shafie