‘Real Life’ Squid Game di Abu Dhabi… Biar Betul?

Siapa sahaja yang tidak tahu dengan drama bersiri popular Squid Game yang berasal dari Korea Selatan.

Cerita yang menayangkan tentang cabaran-cabaran yang boleh membawa kepada kematian ini telah menarik lebih dari 100 juta penonton.

Kini, sebuah permainan sama akan dibawa ke dunia nyata dianjurkan oleh Korean Cultural Center (KCC) di Emiriah Arab Bersatu.

Namun, untuk versi ini, tiada sesiapa akan terkorban atau dibunuh jika tewas di dalam permainan seperti yang ditayangkan dalam drama tersebut.

Tujuan permainan dilanjurkan adalah untuk mempromosikan budaya Korea Selatan di negara padang pasir ini.

Permainan berbentuk sotong yang diukir di atas pasir sangat popular dalam kalangan kanak-kanak Korea pada tahun 80-an dan ia kembali dimainkan semula pada hari ini.

Sebanyak 388 orang telah memohon untuk menyertai permainan Squid Game tetapi hanya 30 peserta sahaja terpilih untuk bermain permainan tradisi negara Korea ini di mana mereka akan dibahagikan kepada dua kumpulan.

Permainan seperti lampu hijau, lampu merah, batu loncatan kaca, guli dan ttakji (sejenis origami kertas berbentuk segi empat) dan ‘dalgona game’ akan dipertandingkan dalam lima pusingan yang berbeza.

Korean Cultural Centre di UAE berkata, pemain yang kalah boleh menonton permainan berasingan tanpa perlu pulang ke rumah.

Permainan ini telah bermula pada Selasa yang lalu dan apa yang membuatkan acara ini lebih menarik adalah uniform para peserta mempunyai logo ‘Squid Game’ dan seperti di dalam drama tersebut, stafnya juga akan memakai kostum berbentuk segi tiga, segi empat dan bulatan yang berwarna merah jambu.

Dengan penonton yang semakin bertambah, drama ‘Squid Game’ telah membina ‘fanbase’ yang besar di seluruh negara. Negara mana pula yang akan menganjurkan permainan ‘Squid Game’ selepas ini? Adakah Malaysia?

Sumber: Khaleej Times

Kredit foto: Netflix

Arfah