Sudah Tahu Awal Mawar Rashid Nak Berpisah Dengan Suami, Wawa Zainal Doakan Mereka Kembali Bersatu

Pelakon dan usahawan Wawa Zainal berharap agar hubungan rakan baiknya, aktres Mawar Rashid dan suami, Raf Yaakob akan kembali bertaut semula.

Menurut Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, perpisahan pasangan romantis itu bukanlah disebabkan orang ketiga.

“Mungkin perpisahan itu adalah keputusan yang terbaik buat mereka. Cuma saya harap mereka kembali bersatu semula.

“Mereka berpisah bukan disebabkan orang ketiga. Jadi saya dan suami percaya ada sinar untuk mereka,” katanya.

Menurut Wawa, dia dan suami, pelakon Aeril Zafrel sudah mengetahui keputusan perceraian pasangan itu terlebih dahulu sebelum diumumkan pada 23 November lalu.

“Sebelum kisah ini heboh diperkatakan kami sudah tahu. Mereka ada maklumkan tentang hasrat untuk bercerai dan pasti kami amat terkejut.

“Apabila dimaklumkan mahu bercerai, kami hanya mendengar sahaja. Nak beri nasihat pun, kami bukanlah orang yang baik sangat. Kita terus doakan untuk mereka berdua,” katanya.

Wawa bagaimanapun menyatakan dia belum sempat bertemu Mawar atau Raf selepas mereka mendedahkan hasrat untuk berpisah kepada umum.

“Kami belum jumpa mereka lagi. Berilah mereka ruang untuk bertenang. Kami pun tidak mahu ganggu mereka,” jelasnya.

Sebelum ini, Mawar tampil mengejutkan orang ramai selepas memuat naik imejnya yang kembali tidak bertudung.

Tidak lama kemudian, Mawar dan Raf mengumumkan berita perceraian mereka menerusi sebuah perkongsian di Instagram.

Terdahulu, Mawar dan Raf telah mendirikan rumah tangga pada November 2017.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Raden Muhammad, 4, Raden Seri Rosabella Cinta dan Raden Seri Riyanna Sayang, 10 bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas Buka Tudung & Umum Bercerai… Mawar Rashid Akan Kembali Berlakon, Masuk Studio Rakaman Bakal Jadi Penyanyi?

ARTIKEL BERKAITAN: Sah Berpisah Dengan Mawar Rashid, Peminat Titip Doa Buat Raf Yaakob – “Manusia Hebat, Ujiannya Juga Hebat” 

ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan Bakal Bercerai, Mawar Rashid Akhirnya Buka Mulut… Minta Henti Sebar Pelbagai Spekulasi – “Kami Dah Tiada Persefahaman”

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Buka Tudung, Mawar Rashid Tampil Buka Mulut – “Sungguh Semua Dah Berlaku Tapi Saya Masih Berusaha Jaga Hubungan Dengan Allah”

Fatin Nurain