Categories: TECHTech News

Cara Mengatasi (Remove) Virus Shortcut Pada Komputer dan Pen Drive Anda Kurang 5 Minit

Buka sahaja pen drive di komputer, semua fail dan folder telah bertukar menjadi pintasan (shortcut).Anda boleh melihat fail tersebut tetapi malangnya ia tidak boleh dibuka.Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba sahaja data anda menjadi bentuk pintasan.

Bingung?

Saya rasa situasi di atas pernah berlaku kepada anda.

Mungkin sekali.

Mungkin dua kali.

Mungkin juga sudah berkali-kali.

Jika berkali-kali itu sudah dikira agak kritikal.

Apa yang boleh saya katakan kemungkinan besar pen drive anda telah dijangkiti oleh sejenis virus shortcut.

Apa itu virus shortcut?

Buat masa ini tiada definisi Wikipedia untuk virus shortcut.

Tetapi,seperti namanya, ia adalah kombinasi trojan / worm yang menyembunyikan semua fail dan folder anda, kemudian menggantikannya dengan pintasan yang kelihatan sama.Apabila anda membuka salah satu fail atau folder palsu ini, virus ini akan menggandakan dirinya dan seterusnya menjangkiti sistem operasi anda (sekiranya komputer anda tidak dipasang antivirus).Selain daripada itu, prestasi komputer anda juga akan terjejas dan ada kemungkinan besar data peribadi anda dicuri.

Bolehkah data diselamatkan?

Boleh.

Jangan risau.

Semuanya masih ada, cuma perbezaannya anda tidak boleh membuka atau mengakses fail-fail tersebut.

Ingat.

Jika dibiarkan terlalu lama fail anda boleh dirosakkan atau dipadam terus oleh virus shortcut ini.

Bagaimana virus shortcut merebak?

Ia tidak muncul secara tiba-tiba kecuali anda melakukan perkara-perkara berikut:

  1. memuat turun perisian daripada pihak ketiga (third party) yang tidak dipercayai.
  2. menyambung pen drive rakan-rakan anda yang mengandungi virus shortcut kepada komputer anda.
  3. menyambung pen drive anda sendiri kepada komputer rakan-rakan anda yang telah dijangkiti oleh virus shortcut ini.

Langkah-langkah pencegahan daripada terus merebak

Sebaik-baiknya anda menghentikan fungsi autoplay pemacu boleh alih di komputer anda.

Ketika membuka kandungan pen drive, jangan klik dua kali (double-click) fail atau folder tersebut.

Cara yang betul adalah klik kanan fail atau folder lalu pilih Explore. Tujuannya untuk mengelakkan daripada arahan virus shortcut dilaksanakan.

Terdapat banyak cara membuang virus shortcut di dalam komputer anda. Cara yang paling mudah dan pantas adalah dengan menggunakan cmd (command prompt).

Cara kedua pula adalah dengan menggunakan perisian seperti virus shortcut remover UiTM dan UsbFix.

Saya tidak akan mengulas tentang virus shortcut remover UiTM tetapi menumpukan pada cara menggunakan cmd dan UsbFix sahaja dalam tutorial pada kali ini.

Mari saya tunjukkan anda cara menghapuskan virus shortcut ini dan seterusnya menyelamatkan data penting anda.

Cara remove virus shortcut dengan command prompt (CMD)

Ini adalah cara yang paling popular.

Pada kali ini saya menggunakan Windows 7 untuk menunjukkan cara yang betul menghapuskan virus degil ini.

Pastikan anda membaca langkah demi langkah di bawah dengan teliti.

Sebelum itu, pastikan komputer yang anda gunakan bebas daripada virus.

Jika tidak, virus shortcut akan muncul semula kerana anda tidak membersihkan punca merebaknya virus ini.

Mari kita teruskan…

Sambungkan pen drive anda kepada komputer meja atau laptop anda.

Sila imbas (scan) terlebih dahulu pen drive anda dengan menggunakan perisian antivirus yang boleh dipercayai (reliable).

Setelah proses mengimbas selesai, klik butang Start dan taip cmd. Kemudian klik kanan pada cmd dan pilih Run as administrator.

Saya ulangi, pastikan anda pilih Run as administrator.

Klik butang Yes sekiranya ada tetingkap kecil yang muncul.

Taip huruf G: (sekiranya huruf pada pen drive anda adalah G) kemudian tekan Enter.

Taip: del *.lnk (arahan ini digunakan untuk memadam pintasan pada pen drive anda) dan tekan Enter.

Taip arahan di bawah dan tekan kekunci Enter:

ATTRIB -H -R -S /S /D G:\*.* (arahan ini digunakan untuk memulihkan fail dan folder pada pen drive anda)

Nota: Tukarkan huruf G mengikut huruf pada pen drive anda.

Jika huruf pen drive anda adalah F, taip huruf F. Tunggu sehingga arahan (command) kedua keluar.

Apabila telah muncul, pen drive anda telah siap dibersihkan dan tidak lagi menjadi pintasan (shortcut).

Setelah selesai tutup tetingkap cmd tersebut.

Lihat semula kandungan pen drive anda.Sekiranya berjalan lancar, anda sudah boleh melihat fail dan folder asal anda di dalam pen drive.Cara di atas juga boleh digunakan untuk membuang virus shortcut pada cakera keras mudah alih (portable hard disk).

Itulah sahaja perkongsian kami pada kali ini.Semoga info ini bermanfaat untuk anda.

Sumber : aftechcomputersolutions.com

 

SGMS Putri