Categories: FeaturedGaya Hidup

Malala, Greta guna kuasa wanita tuntut hak

Malala Yousaf Zai pernah menggemparkan dunia apabila beliau ditembak oleh puak Taliban ketika pulang dari sekolah di Lembah Swat di Pakistan, kira-kira lapan tahun lalu.

Peristiwa berkenaan membuka mata dunia kerana beliau yang ketika itu berusia 15 tahun berjuang demi mendapat hak pendidikan untuk wanita yang dinafikan dalam banyak perkara di negara yang sentiasa bergolak itu.

Kini Malala yang turut diiktiraf sebagai pejuang hak asasi manusia, 22, menuntut di Universiti Okford, United Kingdom (UK).

Kesungguhan Malala memperjudi nyawa demi pendidikan wanita di negaranya walaupun tidak siapa yang bersetuju dengannya ketika itu kini menjadi contoh kepada generasi muda di seluruh dunia.

Antara yang menjadikan Malala sebagai ikon contoh dalam perjuangan menuntut hak untuk kepentingan sejagat ialah Greta Thunberg.

ARTIKEL BERKAITAN: Greta Thunberg, 16, dinamakan ‘2019 Person of The Year’ oleh majalah TIME.

Meskipun masih muda dan baru berusia 17 tahun, Greta dari Sweden menyedarkan banyak pihak mengenai perubahan iklim dunia yang boleh memberi kesan buruk terhadap manusia.

Baru-baru ini, Greta dilaporkan berkunjung ke UK kerana menyertai protes terhadap kemusnahan alam sekitar dan berpeluang bertemu Malala.

Greta ternyata hilang kata-kata apabila bertemu Malala dan berkongsi perasaannya di hantaran sosial media miliknya dengan menyatakan beliau tergamam apabila bertemu Malala.

Mungkin terlalu gembira bertemu wanita yang dikagumi kerana ketabahan dan semangat juang yang tinggi, beliau tiada perkataan sesuai untuk diluahkan.

Malala juga membalas di laman sosialnya dengan memberitahu Greta adalah satu-satunya individu yang membuatkan beliau ponteng daripada menghadapi kelas hari itu.

Sebelum ini, Malala pernah membuat kenyataan yang seolah-olah ditujukan kepada Greta yang masih muda, namun berusaha berjuang demi menyelamatkan bumi dengan caranya tersendiri.

“Anda tidak perlu menjadi orang dewasa untuk mengubah dunia, sekarang pun anda boleh mengubah dunia.

“Saya fikir itulah mesej yang mahu disampaikan Greta kepada orang muda di seluruh dunia bahawa suara dan laungan anda, kegiatan yang anda lakukan amat penting bagi perubahan yang ingin dilihat demi masa depan,” katanya ketika ditemu bual dalam satu siri lewat malam oleh Lily Singh.

Malala dan Greta pernah dicalonkan sebagai penerima Hadiah Nobel (Keamanan) dan kedua-duanya juga pernah bercakap di pentas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Malala calong paling muda yang dinamakan untuk anugerah berkenaan pada 2014 ketika berusia 17 tahun, manakala Greta pula dicalonkan baru-baru ini.

Kedua-duanya dilahirkan di negara berbeza, namun persamaan mereka ialah kedua-duanya wanita dan berani memperjuangkan hak kemanusiaan serta dan alam yang semestinya perlu dilindungi.

Shaidah Shafie