Categories: FeaturedGaya Hidup

Pelajari cara menunaikan solat yang betul sambil mendukung anak kecil

Ketika berseorangan dengan anak kecil, seseorang ibu atau bapa itu pasti berasa gelisah ketika menunaikan solat kerana bimbang akan keadaan si kecil.

Manalah tahu, ketika anda sedang khusyuk, ada potensi untuk anak anda bergerak ke tempat lain, mencapai barang-barang yang membahayakannya ataupun menarik kain anda.

Jika anda pernah melalui situasi sebegini, anda tidak semestinya perlu tunggu hingga si kecil tidur untuk menunaikan ibadat.

Islam adalah agama yang mudah. Anda sebenarnya boleh mendukung anak anda sambil bersembahyang.

Menurut zayan.my, sebuah hadis menerusi Abu Qatadah Al- Ansari R.A berkata:

Sesungguhnya Rasullulah SAW menunaikan solat dalam keadaan membawa (mendukung) cucunya, Umamah. Apabila sujud, baginda meletakkannya dan apabila bangun, baginda mendukungnya semula. (Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari).

Jadi ini bermakna ibu diharuskan mendukung anak kecil ketika bersolat. Cara-caranya ditunjukkan dalam gambar rajah di bawah:

  1. Niat seperti biasa sambil memegang anak anda dengan erat. Tidak perlu mengangkat tangan untuk takbiratulihram kerana ia termasuk dalam rukun qauli (bacaan/lafaz).
  2. Baca surah al-Fatihah seperti biasa dan jika keadaan membenarkan, baca juga surah pilihan.
  3. Sambil memegang anak dengan erat, rukuk. Jika tidak berkemampuan, anda tidak perlu meletakkan tangan di atas lutut.
  4. Untuk sujud, duduk melutut dahulu dan letakkan bayi di sebelah. Kemudian barulah sujud seperti biasa. Selepas sujud kedua, angkat dan dukung semula anak anda sebelum memulakan rakaat seterusnya.
  5. Ulangi langkah di atas hingga solat selesai.

Syarat

Walaupun cara ini lebih memudahkan, ia hanya sah dengan syarat berikut:

  1. Anak anda perlu berada dalam keadaan bersih dan bebas daripada najis. Pastikan pakaian dan lampinnya sudah ditukar sebelum anda solat.
  2. Pergerakan anggota badan besar anda harus dijaga. Pergerakan selain rukun solat yang melebihi tiga kali boleh membuatkan solat terbatal.
  3. Dada anda harus sentiasa menghadap kiblat.
  4. Teknik solat ini boleh dilakukan hanya apabila anda terdesak, dan sekiranya tiada orang lain yang boleh mengawasi anak anda.

Semoga bermanfaat!

Ad Ops