Categories: FeaturedOh Lawa

Petua kecantikan yang paling murah dan berkesan

Penggunaan asam jawa bukan sahaja sekadar ramuan penyedap dalam masakan, malah memiliki manfaat yang bagus untuk kecantikan wajah.

Mengandungi pelbagai khasiat dan kaya dengan vitamin B, antioksidan, mineral, zat besi, magnesium, karbohidrat serta fosfor, asam jawa mampu merawat pelbagai masalah berkaitan kulit dan menjadikan wajah cantik berseri.

Kredit gambar: Semuanya JDT

Berikut adalah manfaat menakjubkan asam jawa untuk kecantikan, sesiapa sahaja boleh amalkan kerana caranya sangat mudah dan menjimatkan:

1. Mencerahkan kulit

Petua kecantikan menggunakan bahan semula jadi itu sudah lama diamalkan sejak zaman nenek moyang lagi. Asam jawa mampu memutih dan mencerahkan kulit. Caranya, rendam asam jawa ke dalam air panas sehingga berubah menjadi pati.

Tambah kunyit dan gaul dengan air rendaman asam jawa tadi. Sapukan pada wajah dan badan serta biarkan selama 15 minit.

Kemudian, bilas dengan air bersih dan amalkan dua kali seminggu untuk hasil kulit yang putih berseri. Selain kunyit, anda juga boleh campur asam jawa dengan madu dan lemon.

Kredit gambar: Zie Madini Blog

2. Menanggalkan sel-sel kulit mati

Mengandungi alfa hidroksil asam yang bertindak sebagai bahan pengelupasan, asam jawa bagus untuk menanggalkan sel kulit mati dan menghilangkan kotoran yang terdapat dalam pori-pori muka.

Caranya, sapu asam jawa pada wajah dan biar selama 20 hingga 30 minit. Sambil menunggu asam jawa kering, boleh mengurut wajah secara perlahan-lahan agar sel kulit mati tertanggal.

Setelah kering, bilas dengan air dan anda dapat rasakan kulit anda lembut serta bersih. Anda juga boleh mencampurkan asam jawa dengan garam untuk menjadikannya sebagai pupur muka.

Kredit gambar: Lekat Lekit Story

3. Mengurangkan jerawat dan jeragat

Bancuhkan tiga sudu besar asam jawa ke dalam air panas. Biarkan seketika dan tapis bahan yang tidak diperlukan seperti biji dan sebagainya. Gunakan air tapisan asam jawa tadi sebagai air basuhan muka pada setiap pagi. insya-Allah, jerawat dan jeragat akan berkurangan jika diamalkan selalu.

Kredit gambar: Cookidoo

Selain itu, asam jawa juga bagus untuk mengurangkan tanda penuaan, melembapkan kulit, memudarkan kesan hitam pada leher, mengurangkan selulit dan merawat masalah rambut gugur. Semoga bermanfaat!

Ad Ops