Categories: Eat TravelFeatured

Produk Brown Sugar Bubble Tea Ball tiada sijil halal JAKIM, ramuan ada gelatin babi

Produk Brown Sugar Bubble Tea Ball yang begitu popular di Malaysia kebelakangan ini disahkan tidak mempunyai status halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), malah produk dari Taiwan itu mengandungi gelatin babi.

JAKIM dalam satu kenyataan, semalam menjelaskan JAKIM dihujani soalan mengenai produk berkenaan yang menimbulkan pertikaian dalam media sosial apabila ada warga siber yang mendakwa produk berkenaan tidak halal.

“Pihak kami mula menerima pertanyaan berkenaan isu status halal produk Brown Sugar Bubble Tea Ball daripada pengguna di media sosial rentetan timbul dakwaan yang menyatakan produk berkenaan tidak halal.

“Berdasarkan semakan pihak @halalmalaysiaofficial, produk itu tidak memiliki pengesahan halal daripada JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau mana-mana badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM,” kata kenyataan itu.

Selain itu, JAKIM mengesahkan produk bubble tea keluaran Taiwan yang diimport oleh Meng Chong Foodstuffs Pte Ltd, syarikat yang berpangkalan di Singapura didapati mengandungi sumber bahan ramuan tidak halal, iaitu gelatin babi.

Sehubungan itu, JAKIM menasihatkan pengguna supaya lebih berwaspada dengan meneliti terlebih dahulu label bungkusan produk sebelum melakukan pembelian sebarang produk makanan atau minuman baik di Malaysia mahupun di luar negara.

“Jadilah pengguna yang bijak dengan mengutamakan produk yang sudah dipersijilkan halal oleh JAKIM, JAIN atau mana-mana badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM.

“Perlu diketahui bahawa produk yang telah dipersijilkan halal oleh agensi berkenaan adalah dijamin halal dan toyyiban iaitu suci, bersih dan selamat serta mengikut prosedur, peraturan dan juga perundangan berkaitan yang ditetapkan di negara masing-masing,” kata kenyataan itu.

Orang ramai yang ingin mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan logo halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM, boleh melayari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my. Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal.

Fadzlena Jafar