Categories: AcaraFeatured

‘Pulang’ Rapatkan Semula Hubungan Remy Ishak Dengan Bapa

Aktor kacak Remy Ishak memberitahu filem Pulang telah membawa perubahan besar dalam kehidupannya secara peribadi. Ini kerana, sepanjang penghasilan filem ini dia mula sedar tentang pengorbanan seorang ayah yang perlu sentiasa dihargai.

Menurut Remy, sebelum ini hubungannya dengan bapanya tidak begitu baik. Tetapi, pengalaman menjiwai wataknya di dalam filem Pulang ternyata telah membuatkan Remy ingin kembali berbaik bersama bapanya.

“Saya sendiri datang daripada latar belakang keluarga yang bergolak. Hubungan saya dengan ayah tidak baik sebenarnya. Tapi, sepanjang saya terlibat dengan pengambaran filem Pulang ini, saya mula merinduinya.”

“Sejujurnya, disebabkan oleh Pulang, hubungan kami jadi baik semula. Sebab melalui filem ini, barulah saya rasa sendiri bagaimana perasaan seseorang ayah itu, di mana seorang anak perlu luangkan banyak masa dengan ayahnya.

“Bila ibu dan ayah saya berpisah, kami adik-beradik jarang berjumpa dengan ayah,” katanya ketika ditemui dalam majlis sidang media untuk pengumuman tarikh tayangan filem Pulang di Bangsar Shopping Centre pada Selasa.

Pulang merupakan filem terbaharu lakonan Remy Ishak dan Puteri Aishah yang diangkat daripada kisah sebenar yang berlaku pada tahun 1940-an yang digarap kemas oleh pengarah popular, Kabir Bhatia. 

Selain itu, Remy yang memegang watak sebagai Othman memberitahu bahawa Pulang juga turut memberi cabaran dalam karya seninya. Ini kerana, sebelum memulakan sesi pengambaran, dia perlu menurunkan berat badan untuk membawa watak seorang lelaki daif yang hidup sekitar tahun 40-an. 

“Filem ini berlatarkan era sebelum merdeka, jadi makan tak cukup, semua serba tak cukup, jadi saya perlu turunkan berat badan untuk memainkan karakter seiring dengan keadaan tersebut. Memang ambil masa jugalah untuk turunkan berat badan; setiap pagi perlu bersenam, jogging dan jaga makan, jadi berat badan saya turun ke 68kg daripada 76kg.

“Disebabkan pengambaran Pulang yang mengambil masa hanya 40 hari, dengan action scene yang banyak, saya perlu bermain dengan imaginasi yang tinggi kerana filem ini banyak menggunakan CGI.

“Selain itu, jadual pengambaran yang padat juga membantu saya turunkan berat badan sedikit demi sedikit,” menurut Remy.

Ulas Remy lagi, Pulang adalah antara karyanya yang paling mencabar sepanjang dia bergelar aktor.

Ia juga menampilkan barisan pelakon yang sangat hebat seperti Puteri Aishah, Azrel Ismail, Erwin Dawson, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Syazuwan Hassan, Che Puan Juliana Evans, Sherry Al Jeffry dan ramai lagi. 

Pulang akan berlayar menemui penonton pada 26 Julai ini di semua pawagam di seluruh negara. Jangan lupa tonton, ya!

tex_admin