Categories: Eat TravelFeatured

Resipi onde-onde bunga telang yang unik dan sedap

Onde-onde atau nama lainnya, kuih buah Melaka adalah antara pemanis mulut yang menjadi hidangan kegemaran ramai ketika berbuka puasa.

Kebiasaannya, onde-onde akan menggunakan ekstrak daun pandan dan berwarna hijau, namun seorang pengguna Facebook, Lily Azhary‎ berkongsi resipi onde-onde bunga telang yang unik di laman sosial masakan popular, Masak Apa Hari Ni.

Bagi yang tidak tahu, bunga telang adalah sejenis tumbuhan berbunga yang digunakan sebagai ubat tradisional sejak zaman dahulu lagi.

Kredit gambar: Sinar Tani

Daunnya mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan dan bunganya yang berwarna ungu indigo digunakan sebagai pewarna makanan semula jadi dalam banyak hidangan termasuk onde-onde.

Jom lihat resipi onde-onde bunga telang di bawah.

Bahan yang diperlukan:

2 cawan tepung pulut

1 cawan air ekstrak bunga telang

2 ketul gula Melaka (dipotong dadu kecil)

1/2 biji kelapa parut muda (diambil putihnya saja)

Garam secukup rasa

Cara penyediaan:

  1. Rebus dalam 50 hingga 70 kuntum bunga telang dalam periuk yang mengandungi dua cawan air sehingga air rebusan menjadi satu cawan. Kemudian sejukkan.
  2. Apabila sudah sejuk, buat adunan dengan mencampurkan tepung pulut dan air bunga telang tadi. Uli hingga doh tidak melekat di tangan.
  3. Ambil sedikit doh dan leperkan. Isi inti gula Melaka dan kemudian tutup sebelum diuli sehingga berbentuk bebola. Kemudian ambil sedikit lagi doh dan ulang proses hingga doh habis.
  4. Sapukan bekas atau dulang untuk meletakkan doh yang sudah dibentuk tadi dengan sedikit minyak untuk mengelakkan doh melekat.
  5. Rebus bebola onde-onde tadi dalam air mendidih dan apabila bebola timbul menandakan sudah masak. Tos dan golekkan di atas kelapa parut yang sudah digaul dengan garam. Kukus kelapa parut jika mahu ia tahan lebih lama.

Selamat mencuba!

Kredit resipi dan gambar: Lily Azhary

Ad Ops