Categories: FeaturedOh Lawa

Telekung bertangan mudahkan wanita jalani pelbagai aktiviti

Wanita sering disaran aktif dengan melakukan pelbagai kegiatan yang memberi manfaat kepada diri sendiri atau masyarakat di sekelilingnya.

Namun begitu, dalam beraktiviti ada kekangan penampilan mahupun masa yang perlu diberi perhatian kerana bagi wanita Muslim, mereka perlu mematuhi etika menutup aurat.

Bagi Norlaili Ahmad Mansor, terpanggil untuk berkongsi idea memudahkan wanita menjalankan kegiatan harian tanpa mengabaikan solat dengan menghasilkan telekung bertangan jenama Al-Lail.

Telekung bertangan memudahkan ibu menyusukan anak. Foto: Norlaili Mansor.

Meskipun tidak pandai menjahit dan bukan juga pereka fesyen, beliau berkata, telekung berkenaan adalah tanggungjawab sosialnya sebagai Muslim menerusi penghasilan telekung bertangan.

“Saya mahu memudahkan pergerakan wanita, terutama jika mereka berada dalam keadaan kesuntukan masa dan tergesa-gesa. Dengan telekung bertangan ini, mereka boleh menunaikan solat tanpa perlu menyarungkan telekung dan kain.

“Jika mahu menyusukan anak, persalinan ini juga memudahkan mereka menyantuni anak tanpa memperlihatkan aurat, hanya perlu selak sahaja telekung ini yang seperti tudung panjang,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Telekung bertangan Al-Lail adalah produk patuh syariah yang sangat relevan dengan keperluan hijabista hari ini kerana ia berfungsi dua dalam satu, boleh disarung sebagai pakaian dan pada masa sama berfungsi sebagai telekung solat.

Norlalili berkata, telekung bertangan itu dihasilkan sebagai perkongsian sosial yang tidak membebankan pengguna kerana ditawarkan pada harga berpatutan dan dihasilkan daripada fabrik yang selesa.

“Telekung Al-Lail dihasilkan daripada fabrik moss crepe yang sangat lembut, jatuhan yang cantik, tidak melekap pada badan dan bersifat sejuk.

“Reka bentuk telekung bertangan ini juga tidak menampakkan susuk tubuh badan dan aurat wanita terjaga dengan sempurna,” katanya.

Bahagian belakang yang labuh menjadikannya selesa dipakai ketika bersolat. Foto: Norlaili Mansor.

Lebih menarik mengenai telekung bertangan ini, ia boleh disesuaikan dengan kain atau seluar bergantung kepada cita rasa pengguna.

Katanya lagi, telekung itu juga mempunyai pelapik pada bahagian dagu dan selesa untuk wanita mengambil wuduk tanpa membuka tudung mahupun menyusukan anak.

Telekung bertangan sangat sesuai digunakan untuk mengerjakan umrah atau haji. Foto: Norlali Mansor.

“Telekung ini sangat praktikal digunakan oleh wanita terutama wanita berkerjaya yang sentiasa berada dalam keadaan mengejar masa.

“Kalau mahu bercuti pun, mereka boleh jimat ruang di dalam bagasi kerana selain menyarung terus ke badan sebagai persalinan, ia boleh dibawa bersolat asalkan bersih. Apatah lagi jika mahu dibawa menunaikan umrah dan haji, sangat selesa dan sesuai. Paling utama, patuh syariah,” katanya.

Telekung ini ditawarkan pada harga RM90 sepasang dan boleh diperoleh dengan menghubungi Norlalili menerusi e-mel norlaili@unikl.edu.my

Shaidah Shafie