Categories: FeaturedSihat

Terlebih kafein dalam badan boleh undang padah!

Bagi penggemar kopi, minum secawan kopi setiap pagi antara amalan yang tidak boleh ditinggalkan kerana dikatakan dapat menjadikan hari mereka lebih produktif.

Namun begitu, bagi mereka yang tidak menggemari kopi, minuman teh atau milo jadi pilhan di samping pelbagai jenis minuman lain.

Dalam kalangan masyarakat Eropah misalnya, ada yang memilih untuk minum tiga cawan kopi sehari bermula dengan espresso pada awal pagi diikuti latte ketika tengah hari dan cappuccino pada waktu petang.

Turutan itu dilakukan kerana setiap jenis kopi mempunyai tahap kafein berbeza, selain bergantung juga pada saiz cawan yang digunakan.

Setiap secawan kopi mempunyai jumlah kafein yang berbeza – gambar hiasan. Foto: Arkib Hijab & Heels.

Laman sesawang healthline.com dalam artikelnya mengenai kopi ada menyatakan secawan kopi biasa mengandungi 95mg kafein, malah ada yang mencecah sehingga 500gm kafein tertakluk pada jenis kopi yang digunakan.

Jumlah berkenaan merujuk pada secawan kopi biasa yang mungkin hanya menggunakan satu sudu kecil kopi sahaja, tetapi apa berlaku jika dua cawan sudu besar kopi digunakan untuk secawan dalgona kopi?

Kopi dalgona yang sedang tular dalam kalangan penggemar kopi, mudah sahaja untuk disediakan. Foto: Arkib Hijab & Heels.

Ketika ini, kopi dalgona sedang tular dalam kalangan masyarakat di Malaysia dan tidak dinafikan kopi itu sangat mengujakan dengan kopi likat dituang di atas susu segar.

Lazimnya kopi likat itu adalah campuran dua sudu besar atau lebih serbuk kopi , dua sudu besar gula dan sedikit air yang kemudian dipukul sehingga menjadi likat dan pekat berserta aromanya yang mencuri selera.

Menurut panduan daripada Klinik Mayo, setiap individu tidak boleh mengambil kopi lebih daripada 400gm sehari kerana jika terlebih pengambilan, ia akan menyebabkan kecelaruan terhadap tahap kesihatan.

Pengambilan kopi secara berlebihan juga boleh memberi kesan kepada pengguna, antaranya cirit-birit, sakit kepala, insomnia, tekak kering dan sukar mengawal tahap kemarahan diri.

Jangan terlebih kopi dalam pengambilan diet harian – gambar hiasan. Foto: NSTP.

Tentunya kita tidak mahu perkara ini berlaku kepada diri sendiri, namun tahap usia individu juga mempengaruhi kesan akibat pengambilan kafein (di dalam kopi) yang berlebihan.

Bukan tidak boleh menikmati kopi tular atau kopi biasa yang digemari sejak dahulu, namun sebagai langkah menjaga kesihatan, ada baiknya kurangkan jumlah pengambilan kopi dalam jadual pemakan harian.

Lebihkan minum air kosong kerana air kosong langsung tidak mempunyai kolesterol apatah lagi lemak atau kafein! Jaga kesihatan, sayangi diri!

Shaidah Shafie