Isteri Raja Afiq Berhenti Jadi Polis, Tukar Kerjaya Sebagai Pramugari – “Saya Sokong Apa Saja Yang Dia Minat”

Pelakon Raja Afiq berkongsi dirinya sentiasa menyokong keputusan isterinya, Soffwany Yusoff untuk meninggalkan kerjaya sebagai anggota polis demi mencapai impiannya untuk menjadi pramugari.

Menurut Afiq, isterinya sudah lama berhasrat untuk menjadi pramugari dan bersyukur akhirnya impiannya itu tercapai.

“Saya sokong apa saja yang dia minat. Dia memang pernah beritahu nak jadi pramugari sebelum ini, tapi disebabkan dia berasal dari Taiping, Perak dan sukar untuk dia datang ke Kuala Lumpur untuk hadiri temu duga ketika zaman mudanya.

“Selepas hampir 15 tahun dia bertugas sebagai anggota polis, dia mengambil keputusan untuk berhenti dan ingin mencuba sesuatu yang baru.

“Alhamdulillah selepas percubaan pertamanya menghadiri temuduga di Malaysia Airlines, dia dipilih untuk menjalani latihan.

“Walaupun kerjaya sebelum ini sudah menjamin hidupnya, tapi bagi saya kita hidup hanya sekali dan tak salah untuk dia menukar kerjaya baharu kerana rezeki ada di mana-mana,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, Afiq bagaimana pun tidak menganggap keputusan isterinya itu sebagai satu masalah memandangkan mereka terpaksa berjauhan.

“Setakat ini saya tengok jadual penerbangannya tidak padat. Cuma dalam seminggu hanya satu atau dua hari saja dia kena bermalam di lokasi terakhir penerbangannya.

“Jadi, tidaklah terlalu lama dia tinggalkan rumah. Semalam saya berpeluang menghadiri hari pelantikannya sebagai pramugari dan saya tumpang gembira,” jelasnya.

Terdahulu, Afiq dan Soffwany telah berkahwin pada 19 September 2020.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain