[VIDEO] Kilafairy ‘Throwback’ Momen Menyanyi Lagu ‘Resah Ku’ Bersama Arwah Rohana Jalil – “I Miss You, Ma”

Selasa lalu dunia hiburan negara dikejutkan dengan pemergian penyanyi popular era 1980-an, Rohana Jalil akibat kebocoran usus.

Pemergian Allahyarham sememangnya memberi kesan kepada semua lebih-lebih lagi buat ahli keluarga tersayang termasuklah anaknya yang juga seorang pelakon, Kilafairy.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi Rohana Jalil Meninggal Dunia

Terbaharu, Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan memuat naik sebuah perkongsian di Instagram (IG) yang memaparkan momen bersama ibunya.

Menerusi video yang dimuat naik, ia memaparkan momen Kilafairy dan Rohana sedang membuat latihan nyanyian bersama dia atas pentas.

Namun, apa yang menyentuh hati adalah mereka mendendangkan lagu nyanyian Rohana sendiri yang berjudul Resah Ku.

“Saya adalah peminat nombor 1 dia dan dia adalah peminat nombor 1 saya.

“I miss you, Ma,” tulis Kilafairy.

Allahyarham memulakan karier seni selepas memenangi pertandingan Bintang RTM pada 1980.

Antara lagu popularnya adalah Rayuan Ku, Resah Ku, Kerana Dia Kita Terpisah, Faez dan Jauh Terkenang.

Pada malam Selasa, penyanyi popular era 80-an itu telah menghembuskan nafas terakhir akibat kebocoran usus di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor, kira-kira pukul 11.33 malam.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ21, Subang Jaya, pada Rabu.

April lalu, Rohana dilaporkan kritikal dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat kebocoran pada usus perut. Perkara tersebut disahkan oleh anaknya, Kilafairy.

Khairil Khusyairi