Categories: FeaturedGaya Hidup

Ahli kimia ini kongsi risiko masak lemang dalam tin, jangan cari pasal!

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 12 Mei depan pastinya menimbulkan rasa bimbang kepada orang ramai lebih-lebih lagi jika ia dilanjutkan lagi sehingga Aidilfitri.

Mana tidaknya, sambutan Aidilfitri mungkin akan berbeza kerana selain tidak dapat balik ke kampung, juadah tradisi hari raya seperti lemang juga belum tentu dapat dinikmati seperti kebiasaan.

Mungkin alasan sukar untuk mencari buluh ketika PKP membuatkan ada yang bertindak kreatif dan berfikir di luar kotak dengan memasak lemang di dalam tin aluminium bagi menggantikan buluh.

Kaedah berkenaan sebenarnya seperti sudah menjadi aliran terkini kerana ia dikatakan lebih mudah dan menjimatkan masa, tidak seperti membakar lemang menggunakan buluh.

Kredit gambar: Facebook Fatimah Salim

Perkara itu telah mendapat perhatian seorang ahli kimia, Dr Fatimah Salim. Menurutnya, kreativiti menggunakan bekas minuman yang diperbuat daripada aluminium mungkin tercetus disebabkan bentuk tin minuman yang serupa dengan buluh.

Dr Fatimah berkata, rakyat Malaysia sememangnya tidak terlepas daripada menjadi kreatif dalam mengaplikasikan pelbagai bahan terbuang agar lebih berguna, namun memasak dalam bekas tin penjualan makanan adalah sama sekali tidak digalakkan.

“Tidak kira apa jua bahan binaan tin itu, aluminium adalah sejenis logam yang reaktif. Haba memasak yang tinggi dan pendedahan yang berterusan akan menyebabkan bahan masakan bertindak balas dengan bahan kimia binaan tin.

Kredit gambar: Selongkar 10

“Bagi tin yang diperbuat daripada aluminium, tindak balas akan menjadi lebih cepat dengan masakan yang bersifat berasid. Maka, banyaklah jumlah aluminium yang terbebas dan bercampur dengan bahan masakan,” katanya.

Dr Fatimah berkata, kandungan aluminium yang tinggi dalam badan boleh menyebabkan masalah kesihatan berkaitan saraf, tulang dan otak terutama bagi kanak-kanak yang menghidap autisme dan pesakit Alzheimer.

“Walaupun tiada kaitan yang konklusif, sesetengah individu yang sensitif atau mempunyai masalah untuk mengumuhkan aluminium berpotensi menghadapi masalah ini.

“Bagaimanapun, jika ada yang masih lagi berhasrat menggunakan tin aluminium untuk memasak lemang, kesan tindak balas itu mungkin boleh dikurangkan dengan pembentukan lapisan oksida. Caranya ialah dengan mendidihkan air beberapa kali dalam bekas itu sehinggalah lapisan oksida terbentuk yang mana boleh dilihat dengan jelas.

Kredit gambar: Selongkar 10

“Daun pisang juga boleh menjadi penyerap sebahagian aluminium, namun kita tidak tahu berapa banyak aluminium yang terhakis dan berapa kapasiti serapan daun pisang itu. Ingat, komposisi bahan binaan tin tidak sama dengan periuk memasak aluminium walaupun bahan utamanya adalah sama.

“Fikirkan juga kebarangkalian bahan-bahan kimia lain yang terhakis daripada cat dan tulisan pada tin, lalu menjadi perisa tambahan kepada lemang. Kesimpulannya, memasak lemang dalam tin aluminium tidak selamat dan tidak digalakkan,” katanya.

Ad Ops