Categories: Eat TravelFeatured

Bayaran Masuk Ke Taj Mahal Dinaikkan Sebanyak 400%… Untuk Mengurangkan Pengunjung?

Terletak di Agra, India, Taj Mahal merupakan salah sebuah mercu tanda yang teragung di dunia.

Bagi yang tak tahu, ia telah dibina pada kurun ke-17 oleh maharaja Shah Jahan sebagai sebuah makam untuk isterinya yang  tercinta, Mumtaz Mahal.

Kerana kisah yang menyayat hati ini serta keindahan monumen ini, ia sering dikunjungi oleh pelawat dari seluruh dunia, termasuklah warga India. Setiap tahun, hampir 8 juta orang telah datang untuk mengagumi bangunan batu marmar ini.

Kalau dah cantik, baguslah bila ada orang yang nak datang tengok. Tapi masalah timbul apabila terlebih banyak pula pengunjung yang datang.

Oleh kerana pelancong, batu marmar putih yang diukir khas kini kekuningan akibat pencemaran udara. Sungai Yamuna yang mengalir di sebelahnya tercemar. Seluruh kawasan ini diganggu oleh monyet yang memanjat monumen ini beramai-ramai.

Foto: CNN.com

Kenaikan harga

Untuk memelihara bangunan antik ini, pihak kerajaan India telah memikirkan sebuah inisiatif supaya jumlah pengunjung berkurangan.

Sejak bulan lalu, sekeping tiket untuk melawat semua kawasan Taj mahal termasuklah makam utama yang sudah pun berusia 365 tahun ini akan meningkat daripada 50 rupee (RM3) ke 250 rupee (RM14.80) untuk warga India.

Untuk pelancong asing pula harga 1,000 rupee (RM59.20) bertambah ke 1,300 rupee (RM77).

Majoriti daripada pelawat Taj Mahal adalah orang tempatan dan keputusan pihak berkuasa ini akan memberi impak besar kepada negara di mana gaji purata harian adalah hanya 270 rupee (RM16).

Ini bermakna harga tiket naik sebanyak 400% padahal untuk pelancong asing, kenaikannya hanyalah sebanyak 15%.

“Perubahan ini diharapkan akan mengurangkan jumlah pengunjung dalam lebih kurang 15 ke 20 peratus,” kata seorang pegawai daripada Archaeological Survey of India, badan yang bertanggungjawab untuk menyelenggara Taj Mahal.

“Pada masa yang sama, wang yang dikumpul boleh digunakan untuk pemuliharaan makam ini.”

Foto: Unusual Traveler

Usaha lain

Untuk melindungi Taj Mahal daripada lebih banyak gangguan pencemaran, kenderaan bermotor tak dibenarkan mendekati dalam 500 meter dari kompleks.

Awal tahun lepas, sebagai satu lagi percubaan untuk mengawal jumlah pengunjung, kerajaan telah mengehadkan pelawat tempatan ke 40,000 orang sehari.

Sebelum itu, sebanyak 70,000 pelawat akan membanjiri lokasi yang tersenarai sebagai tapak warisan dunia oleh Unesco ini pada hujung minggu dan hari cuti.

Keputusan untuk menetapkan had ini tercetus kerana pada suatu masa orang ramai telah berebut untuk masuk tepat sebelum waktu kompleks ini ditutup. Pergelutan ini menyebabkan 5 orang tercedera.

Kata Menteri Budaya India Mahesh Sharma, “Kita perlu memelihara Taj Mahal untuk generasi akan datang.”

Sumber: Telegraph.co.uk

Ad Ops