Categories: FeaturedOh Lawa

‘Gugur’ perkataan hijab demi tembusi pasaran global!

Mengekalkan pangkal nama Naelofar dan menggugurkan perkataan hijab, dilihat sebagai strategi baharu jenama itu merintis laluan ke pasaran global.

Seiring misi syarikat yang menyasarkan jualan RM100 juta sekali gus menembusi pasaran antarabangsa, penjenamaan semula Naelofar yang diusahakan semenjak 2014 adalah sesuatu yang relevan.

Sekali pun ‘membuang’ nama Hijab pada label baharu Naelofar dan ditambah dengan logo berhuruf ‘n’, namun jika diperhatikan dengan teliti, monogram n itu menyerupai orang yang sedang rukuk.

Barangkali satu kebetulan, namun mungkin itu satu cara pengasasnya untuk mengekalkan sisi Islamik dalam jenama berkenaan.

Menurut Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 31, idea penjenamaan semula Naelofar yang memperkenalkan warna tema jingga, putih dan hitam itu mengambil masa hampir setahun sejak Mac tahun lalu.

“Bersesuaian dengan wajah baharu Naelofar, saya yakin ia mampu meningkatkan lagi prestasi jualan ke angka yang lebih tinggi.

“Selain itu, berdasarkan rekod jualan tahun-tahun sebelum ini, saya berharap Naelofar mampu meraih jualan RM100 juta untuk tahun ini, Doakan dan mohon segalanya dipermudahkan,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan wajah baharu Naelofar bertempat di Menara Ken, Taman Tun Dr Ismail.

Bekas pengacara program bual bicara hiburan MeleTop itu berkata, beliau turut merancang untuk membuka sebuah lagi cawangan jenama itu di Setia City Mall, Shah Alam tidak lama lagi.

Baru sahaja meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-31 pada 10 Februari lalu, pengacara, pelakon dan usahawan terkenal itu, membawa identiti baharu dan suntikan segar pada koleksi pertama yang dinamakan sebagai Go Far.

Menyifatkan pembaharuan terbabit sebagai hadiah hari jadi untuk dirinya, Neelofa akui koleksi yang bakal dilancarkan pada 24 Februari depan itu menampilkan sentuhan yang lebih edgy, segar feminis dan juga moden seiring dengan kehendak wanita sekarang.

“Ini hadiah hari jadi saya yang paling bermakna. Dengan arah tuju baharu ini, saya berharap jenama hijab saya dapat memberi inspirasi untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap pilihan wanita dalam era dan zaman moden ini.

“Saya juga mahu mereka tahu bahawa mereka tidak perlu takut untuk maju ke hadapan dan tidak membiarkan jarak membataskan mereka kerana satu-satunya halangan untuk berjaya adalah diri sendiri,” kata Neelofa yang bakal memperkenalkan koleksi pakaian dan aksesori di bawah jenama itu.

Dalam perkembangan lain, Neelofa yang bakal membintangi filem dari Seberang memaklumkan beliau sanggup mengupah guru bahasa dari Indonesia semata-mata untuk mengikuti sesi pembelajaran secara intensif bagi memastikan beliau mampu menguasai bahasa Indonesia.

Pendekatan itu diambil sebagai satu inisiatif penting buatnya terutama dalam melakukan persiapan melebarkan sayap di sana pula.

“Bahasa adalah medium pengantara yang cukup penting dalam apa juga inisiatif untuk cuba menembusi pasaran luar. ini termasuk juga untuk memasuki Indonesia.

“Oleh itu, saya kini belajar secara intensif bahasa mereka sebagai persiapan untuk melebarkan sayap di sana. Saya bawa tutor khas dari sana untuk mengajar saya selama sebulan di rumah.

“Saya berpendapat wajib untuk saya menguasai bahasa mereka supaya lebih senang nanti di sana. Lagipun, saya mengimpikan untuk mengembangkan kerjaya secara meluas di Indonesia,” katanya.

Hasrat melebarkan pengaruhnya di Indonesia bagaikan langkah kanan, apabila dibantu pihak pengurusan khas negara itu yang berperanan menguruskan kerjayanya di sana kelak.

“Pengurus yang saya maksudkan itu adalah pengurus kepada selebriti terkenal Seberang iaitu Bunga Citra Lestari juga. Saya juga akan mencari rumah sewa di sana untuk misi berkenaan,” kata bekas Dewi Remaja 2009/2010.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan rekaan tudung terbaharu Naelofar, boleh mengunjungi beberapa cawangan di pusat beli-belah Isetan KLCC, Sogo dan cawangan mercu sedia ada di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI).

Yanie Baharom