Categories: Eat TravelFeatured

Nak Belajar Cara Membuat Bubur Lambuk Kampung Baru, Nah Ini Resipinya

Melihat orang ramai berbaris panjang di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru (MJKG) seawal jam 4 petang sepanjang bulan Ramadan adalah fenomena biasa di Malaysia sejak 63 tahun lalu.

Semuanya gara-gara kelazatan bubur lambuk yang diberikan pihak masjid secara percuma kepada orang ramai untuk dibawa pulang dan dinikmati bersama keluarga.

Pengurusan Masjid Kampung Baru memasak 15 periuk bubur lambuk bersamaan 3,000 bungkus sehari, bermula 1 Ramadan hingga 26 Ramadan ini.

Pengerusi MJKB, Datuk Idris Shaari Mat Aris, berkata pihak masjid membelanjakan lebih RM100,000 setiap tahun bagi penyediaan hidangan itu.

Katanya, sebanyak 5,850 kilogram beras digunakan bagi memasak bubur lambuk yang terus menjadi tumpuan warga kota setiap kali Ramadan tiba.

“Setiap hari, orang ramai mula berkumpul di pekarangan masjid sejak jam 4 petang dan kami membuka dua barisan iaitu untuk jemaah masjid dan orang ramai.

Foto: Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu

“Kami hanya mengambil masa setengah jam untuk mengagihkannya selepas solat Asar,” katanya.

Bercakap mengenai resipi asal bubur lambuk ini ia diasaskan oleh seorang warga Pakistan, Allahyarham Said Benk pada tahun 1949. Resipi turun-temurun ini teruskan beberapa tukang masak handal Kampung Baru dan sejak beberapa tahun lalu tugasan ketua tukang masak bubur lambuk di MJKB diambil alih oleh Zainal Abidin Abdul Hamid, 62, bersama beberapa jemaah lain.

Menurut Zainal Abidin, keistimewaan bubur lambuk Kampung Baru adalah ramuan herba dan rempah ratus yang digunakan sejak 60 tahun lalu tidak pernah berubah. Ia tetap digunakan sehingga kini tanpa mengurangkan walau satu jenis bahan.

“Paling utama adalah penggunaan tujuh jenis rempah iaitu jintan manis, halba, buah pelaga, bunga cengkih, kulit kayu manis, bunga lawang dan serbuk lada hitam.

“Bahan sampingan lain yang amat penting dalam pembuatan bubur lambuk antaranya daging tetel, udang kering, bawang besar yang dihiris, bawang putih, santan, minyak sapi, minyak kelapa dan garam secukup rasa. Untuk menambah aroma pula, daun pandan, daun sup dan daun bawang turut dicampur, selain ditabur dengan bawang goreng,” katanya.

Selain berkongsi dengan pembaca mengenai kegiatan Pengurusan MJKB dalam meneruskan tradisi pemberian bubur lambuk kepada orang ramai, di sini Hijab & Heels juga ingin berkongsi resipi dan cara-cara menyediakan bubur lambuk ala Kampung Baru. Informasi mengenainya boleh dirujuk di bawah ini.

BUBUR LAMBUK ALA KAMPUNG BARU

Bahan-Bahan:

2 cawan beras (basuh dan toskan)
1/2 biji kelapa, diambil santan pekat
1/2 kg daging tetel (potong kecil)
udang kering (rendam air panas dan tumbuk lumat)

2 s/b minyak sapi
3 s/b minyak
2 helai daun pandan (basuh dan dicarit-carikkan)
garam/gula secukup rasa
1 air cawan

1 cawan bawang goreng
4 ulas bawang putih (dimayang)
2 biji bawang besar (dimayang)
1 inci halia (dimayang dan potong jadi macam batang mancis)

Rempah tumis:

1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga
1 sudu kecil halba
2 biji buah keras [ditumbuk]

Bahan rempah (goreng kering dan mesin halus)

1 sudu kecil jintan manis (saya pakai jintan putih)
1 sudu kecil ketumbar
1 sudu kecil lada sulah
1 sudu kecil lada hitam

Bahan-bahan sampingan (optional) :

2 batang carrot dipotong dadu
1/2 cawan kurma dibuang biji bahan hiasan (mayang)
3 tangkai daun sup
2 tangkai daun bawang
Bawang goreng

Cara-cara memasak:

– Panaskan minyak dan minyak sapi
– Tumis rempah yang telah dikisar tadi, rempah tumis, bawang putih, daun pandan dan bawang besar
– Kemudian masukkan udang kering, tumis lagi
– Kemudian masukkan daging.
– Tumis sehingga naik minyak.
– Masukkan air dan didihkan sehingga daging separuh empuk.
– Masukkan beras dan kurma dan tambah air jika nampak kering. Reneh sehingga beras hancur dan daging lembut.
– Tambah air kalau bubur nampak semakin kering ketika menunggu ia pecah
– Ketika ini boleh masukkan carrot jika mahu.
– Apabila beras sudah nampak pecah, masukkan santan pekat dan perisakan dengan garam/gula secukup rasa
– Bila bubur sudah tanak dan elok, hidangkan dengan bahan-bahan hiasan tadi. Dah siap!

Foto: Urban Adventures

Sumber : Berita Harian 

Resipi : Liya Syamel

Yanie Baharom