Categories: familuvFeatured

Panduan Didik Si Abang Atau Kakak Terima Kehadiran Adik Baru

Rasa tergugat dan cemburu dengan perhatian yang diberikan kepada adik, adalah sesuatu yang normal dilalui oleh seorang abang dan kakak terutamanya anak sulung.

Masakan tidak, kerana selama ini perhatian tertumpu kepada mereka saja. Justeru kehadiran adik dalam hidup mereka dianggap sebagai perampas kasih sayang juga competitor!

Bagaimana untuk mengatasi masalah ini dan bagaimana ibu bapa harus memainkan peranan mereka supaya si abang dan kakak dapat menerima adik dengan hati yang terbuka, sayang pada adik dan juga bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai saudara besar yang bertanggungjawab.

Sejak bayi masih berada dalam kandungan, anak perlu diberitahu agar dapat menerima kehadiran adik baru. Apabila anak berjaya dilatih sedemikian, penerimaannya untuk mendapat adik baru akan lebih mudah. Berikut antara panduan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk melatih anak kecil menerima adik baru.

Foto: Existential Parenting

1. Maklumkan Dari Awal

Anak kecil adalah pemerhati yang baik. Badan si ibu yang semakin membesar mungkin menjadi tanda tanya kepada si anak. Gunakan masa ini untuk memberitahu dia mengenai kehadiran bayi yang sedang membesar dalam perut anda.

Benarkan dia untuk ‘berinteraksi,’ memegang perut anda dengan lembut atau mungkin katakan ‘hai’ jika dia mahu. Anak anda juga mungkin gembira jika dia dapat turut serta semasa pemeriksaan antenatal bersama doktor dan mendengar degupan jantung bakal adiknya.

2. Bapa Ambil Alih Peranan

Setiap ibu bapa pasti mempunyai peranan masing-masing dalam menjaga anak. Dalam situasi ini, oleh kerana si ibu perlu menjaga kesihatannya dan bayi dalam kandungan, si bapa boleh menggantikan ibu dan mengambil peranan dalam menguruskan anak.

Mungkin si bapa boleh menggantikan tugas yang lazimnya dilakukan oleh ibu seperti memandikan anak, menyiapkan sarapan dan menghantar anak ke sekolah. Perubahan secara perlahan ini akan membuatkan si anak tidak merasakan perubahan drastik apabila bayi telah dilahirkan nanti.

3. Luang Masa Bersama Anak

Ini adalah salah satu perkara penting iaitu menghargai masa yang diluangkan bersama anak anda. Pastikan anda mengambil peluang ini untuk menjalin hubungan lebih erat bersama si kecil. Ambil juga peluang merapatkan hubungan anak anda bersama saudara-mara, datuk, nenek dan sebagainya untuk mengelakkan anak berasa tersisih jika adiknya lahir nanti.

4. Ajak Anak Mengenali Adiknya

Susah bagi anak kecil untuk memahami mengenai bayi tetapi satu kaedah yang boleh digunakan ialah menunjukkan gambar-gambarnya ketika bayi dan bercerita mengenai waktu kecilnya.

Terangkan bahawa adiknya juga akan menjadi seperti dia apabila sudah besar. Pantang utama elakkan memberitahu bahawa bayi akan menjadi ‘kawan’ kepadanya kerana dalam tempoh setahun, perkara berkenaan tidak akan berlaku.

5. Libatkan Anak Dalam Persiapan Barangan

Semasa anda mencari barang keperluan bayi, ajaklah si anak kecil anda untuk bersama memilih barangan buat adik barunya. Jika dia terlibat, dia akan berfikir bahawa dia tidak berasa tersisih dalam membuat persiapan menyambut bayi. Bayangkan kegembiraan yang dirasai hatinya jika si anak melihat adiknya memakai baju pilihannya sambil dipuji oleh anda.

6. Biasakan Anak Melihat Bayi

Apabila anak anda melihat bayi, tidak kira di mana sahaja bayangkan kepadanya keseronokan jika dia mempunyai bayi kecil yang comel. Pasti si anak akan berasa teruja menunggu kelahiran adiknya yang comel untuk diajak bermain.

7. Elak Memarahi Anak

Seperti yang diketahui, anak kecil mempunyai hati yang sensitif. Jadi elakkan daripada memarahinya dan sentiasa mengambil hati anak anda. Kerap beritahu dia bahawa anda sangat sayang kepadanya supaya dia tahu bahawa walaupun dengan kehadiran ahli keluarga baru, anda masih sayang kepadanya. Jika tidak, kesannya si anak akan menjauhkan diri dan merasakan bahawa dirinya sudah tidak penting lagi kepada ibu bapanya.

Sumber: Jelita

Yanie Baharom