Categories: Eat TravelFeatured

Resipi kuih tepung bungkus paling sedap dan mudah

Kuih tepung bungkus merupakan antara pencuci mulut tradisional yang sangat digemari pelbagai lapisan umur dan masyarakat. Seperti namanya, kuih ini dibungkus dengan daun pisang dan diperbuat daripada tepung dan mempunyai inti kelapa.

Kuih yang mempunyai rasa lemak manis ini turut dikenali dengan nama Kuih Puteri Dua Sebilik. Tidak dinafikan agak sukar untuk mendapatkan kuih tepung bungkus di bandar. Jika adapun, mungkin tidak menepati selera kita.

Kredit foto: TheInstaProfile

Justeru, apa kata cuba resipi yang dikongsi Iffat Irdina menerusi laman Facebook miliknya. Bahan dan cara penyediaannya sangat mudah, memang jimat, berbaloi serta puas untuk dinikmati. 

Bahan yang diperlukan:

2 cawan tepung beras
4 cawan santan segar
1 sudu garam

Bahan untuk inti kelapa:

1 biji kelapa (putih sahaja)
1 cawan gula merah
1 setengah cawan air
1/2 cawan gula pasir
Secubit garam
2 helai daun pandan
1 sudu tepung gandum

Cara penyediaan:

1. Langkah pertama adalah membuat inti terlebih dahulu. Masak gula merah dan gula pasir di dalam air. Masukkan daun pandan serta secubit garam untuk meningkatkan lagi aroma resipi ini.

Nota: Anda juga boleh menggunakan gula kerek, nisan atau gula Melaka dalam resipi ini.

2. Kemudian masukkan kelapa dan kacau sebati. Setelah itu, masukkan tepung gandum, kacau sebati dan biar sehingga kering.

3. Angkat dan sejukkan inti terlebih dahulu sebelum meletakkannya dalam adunan tepung.

4. Sementara itu, buat adunan untuk doh. Mula-mula kacau santan dan garam sebati tanpa api. Kemudian masukkan tepung beras dan masak atas api sederhana sehingga menjadi pekat dan tidak berketul.

5. Sudukan adunan tersebut di atas daun pisang dan buat lubang sedikit untuk meletakkan inti.

6. Seterusnya, sudukan inti kelapa secukupnya dan letakkan adunan tepung sedikit untuk menutup lubang inti.

7. Bungkus kemas dengan daun pisang dan kukus selama 15 hingga 20 minit.

Kuih tepung bungkus sedia untuk dinikmati seisi keluarga ketika minum petang. Selamat mencuba!

Ad Ops