Categories: FeaturedSihat

Ulser Kornea penyebab buta, hargai mata!

Oleh Ainur Nadhirah Bahrom Shah

Kaji selidik Mata Kebangsaan yang dilakukan pada 1996 mendapati ulser kornea adalah keempat penyebab kebutaan di Malaysia. Apakah yang dimaksukan dengan ulser kormea?

Tidak ramai yang tahu mengenai ulser kornea dan menganggap  ia adalah perkara remeh. Dalam bahasa mudah, ulser kornea berlaku apabila iris mata terkoyak atau mengalami luka. Bayangkan anda mengalami ulser pada bibir,  tetapi bagi ulser di kornea, ia berlaku pada bahagian mata hitam. 

Ia akan kelihatan seperti satu titik putih dan amat mengganggu penglihatan lebih-lebih lagi ketika memandu. Anda akan terasa seperti ada sesuatu di dalam mata tetapi tidak boleh dibuang. Seksa! 

Kornea adalah lapisan jernih pada luar bahagian hadapan mata yang berbentuk kubah dan membantu kita memfokus cahaya ke retina. Jangkitan kuman boleh berlaku apabila kuman memasuki kornea melalui luka pada permukaan kornea. Jangkitan tersebut akan merebak ke dalam mata sehingga penglihatan boleh terjejas atau hilang terus. 

Bintik putih pada mata hitam akibat ulser kornea
Foto: Theaidasue.com

Penggunaan kanta sentuh adalah salah satu risiko  penyebab terjadinya ulser kornea ini. Wanita kebanyakannya mahu dilihat cantik dan bergaya  dengan pemakaian kanta sentuh pelbagai warna, tetapi tidak tahu cara penjagaannya. Kenyataannya jika faktor kebersihan diabaikan terhadap penggunaan kanta sentuh ini, berkemungkinan besar anda  akan terkena jangkitan kuman dan itulah penyebab ulser kornea. 

Apa yang perlu dilakukan ialah memastikan tangan bersih ketika anda ingin melekap dan menanggalkan kanta. Jika mahu dilihat cantik sekali pun, jangan sekali-kali memakain kanta sentuh dalam tempoh terlalu lama kerana ia boleh menyebabkan mata menjadi kering. 

Selain itu, jenama kanta sentuh juga perlu diberi perhatian demi keselesaan mata, jangan terus membeli tanpa usul periksa kerana apabila sesuatu telah berlaku tehadap mata anda, menyesal pun tiada guna. 

Foto: Encikshino.com

Apabila mata terasa berpasir, sakit mata yang teruk, mata menjadi merah dan berair, sensitif pada cahaya dan penglihatan menjadi kabur, anda disarankan terus ke hospital atau berjumpa doktoryang arif mengenai situasi yang dialami. 

Ulser yang teruk akan menyebabkan pengumpulan nanah pada mata dan jika terlambat diatasi, jangkitan ini boleh menyebabkan kornea menjadi bocor.

Mata merah akibat penggunaan kanta sentuh
Foto: Bidadari.my

Ulser kornea adalah masalah yang serius dan boleh mengakibatkan kehilangan penglihatan atau buta. Ia dapat dielakkan jika anda mendapat rawatan yang sesuai dan tepat pada masanya. 

Rawatan bergantung kepada jenis kuman dan peringkat jangkitan tersebut. Ia terdiri daripada ubat titis, pil atau suntikan. 

Selain daripada rawatan perubatan, rawatan pembedahan juga dilakukan bagi kes-kes ulser kornea yang kritikal. 

Jangan pandang remeh terhadap penjagaan mata kerana ia sangat penting untuk mengelakkan daripada jangkitan kuman. Ingatlah, mencegah lebih baik daripada merawat!

tex_admin